Sistem E-Native Courts Sarawak Dijangka Siap Ogos 2027
KUCHING: Sistem E-Native Courts yang dibangunkan bagi memodenkan pengurusan rekod dan penyampaian perkhidmatan Mahkamah Bumiputera Sarawak dijangka siap pada Ogos 2027.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, projek berkenaan merupakan usaha menaik taraf sistem Native Courts sedia ada menerusi projek di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).
Menurut beliau, projek bernilai RM730,000 itu telah diluluskan pada 25 Jun lepas dan kini berada pada fasa pertama pelaksanaan oleh Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS).
“Sistem E-Native Courts ini bertujuan memudahkan proses pendaftaran kes, memperkukuh integriti data dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Isnin.
Tambah Dato Sri John Sikie, sistem itu dicadangkan untuk diintegrasikan dengan beberapa jabatan dan unit kerajaan berkaitan bagi memperkukuh perkongsian maklumat serta penyelarasan pentadbiran.
“Antara agensi yang dicadangkan terlibat ialah Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Jabatan Agama Islam Sarawak, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Unit Pentadbiran, Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak serta Majlis Adat Istiadat Sarawak.
“Integrasi antara agensi kerajaan berkenaan akan memudahkan perkongsian maklumat dan penyelarasan pentadbiran,selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030),” jelas beliau.
Usaha menaik taraf sistem itu katanya, mencerminkan komitmen Mahkamah Bumiputera Sarawak untuk menjadi institusi yang lebih moden dan bertanggungjawab, di samping memelihara integriti rekod mahkamah.
Pelaksanaan sistem berkenaan juga dijangka meningkatkan keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan mahkamah, sekali gus memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih responsif kepada masyarakat Bumiputera di Sarawak.-Edisi UKAS