Pemuliharaan Warisan, Pembangunan Moden Perlu Bergerak Seiring
KUCHING: Pembangunan moden dan pemuliharaan warisan budaya perlu bergerak seiring bagi memastikan kemajuan Sarawak tidak mengorbankan khazanah sejarah, tradisi serta identiti masyarakatnya.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keseimbangan itu dapat dicapai menerusi perancangan teliti, pengurusan bertanggungjawab dan penglibatan aktif masyarakat setempat.
Menurutnya, usaha pemuliharaan warisan tidak seharusnya tertumpu kepada bangunan dan monumen bersejarah semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi pengetahuan tradisional, amalan budaya, ingatan kolektif serta identiti masyarakat yang diwarisi turun-temurun.
Katanya, pendekatan pemuliharaan di Sarawak juga perlu mengintegrasikan pengetahuan tradisional, penyelidikan saintifik, inovasi teknologi dan tadbir urus berkesan bagi menghadapi cabaran perubahan iklim, bencana alam, pembandaran pesat serta perubahan sosial.
“Perkara ini dapat dilihat dengan jelas apabila kita mengunjungi kawasan pedalaman Sarawak.
“Namun, keistimewaan Sarawak ialah walaupun berada jauh di pedalaman, kemudahan perhubungan, termasuk akses digital, tersedia di kebanyakan kawasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Simposium Saintifik sempena Perhimpunan Agung Ke-22 dan Simposium Saintifik Majlis Antarabangsa Monumen dan Tapak (ICOMOS GA2026) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini pada Isnin.
Dato Sri Abdul Karim menambah, masyarakat peribumi dan komuniti setempat memainkan peranan penting sebagai penjaga ilmu, tradisi dan amalan budaya yang menjadi asas kepada kelangsungan warisan hidup Sarawak.
Jelasnya, penglibatan mereka bukan sekadar sebagai penerima manfaat, malah sebagai rakan strategik dalam memastikan khazanah budaya terus dipelihara untuk generasi akan datang.
Beliau menegaskan, Sarawak kekal komited untuk menghormati kepelbagaian identiti budaya, memperkasa peranan masyarakat serta melindungi warisan negeri seiring dengan pembangunan yang dilaksanakan secara bertanggungjawab.
Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran ICOMOS GA2026 membuka ruang kepada Sarawak untuk berkongsi pengalaman dan menyumbang kepada perbincangan global mengenai pendekatan pemuliharaan warisan yang mampan.
Katanya, platform antarabangsa itu juga diharap dapat memperkukuh pertukaran kepakaran, membina jaringan kerjasama berkekalan serta membuka peluang kolaborasi dalam usaha melindungi dan mewariskan khazanah budaya kepada generasi akan datang.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan dan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Business Events Sarawak, Datu Hii Chang Kee serta jemputan lain.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ameerul Shafiq Khir