1,059 Permohonan Jawatan Baharu KMKK Dalam Penilaian
KUCHING: Sebanyak 1,059 permohonan pewujudan jawatan baharu Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari seluruh Sarawak kini dalam proses penilaian bagi memastikan keperluan pentadbiran serta perkhidmatan kepada masyarakat setempat dapat dipenuhi dengan lebih berkesan.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, semua permohonan yang diterima daripada pelbagai bahagian di negeri ini sedang diteliti sebelum dikemukakan untuk pertimbangan dan kelulusan.
Menurutnya, penilaian tersebut mengambil kira beberapa faktor utama, termasuk keluasan kawasan pentadbiran, pertambahan jumlah penduduk dan rumah serta pembukaan penempatan baharu.
“Antara faktor yang dipertimbangkan ialah keluasan kawasan bidang kuasa, pertambahan bilangan rumah dan penduduk, pembinaan kampung, rumah panjang serta pembukaan penempatan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Isnin.
Dato Sri John Sikie berkata, aspek kesukaran akses ke kawasan tertentu turut diberikan perhatian, khususnya penempatan pedalaman yang hanya boleh dihubungi melalui pengangkutan udara, laluan sungai atau jalan darat yang mencabar.
Katanya, keadaan muka bumi yang bergunung-ganang serta jarak antara penempatan turut menjadi antara pertimbangan dalam menilai keperluan pewujudan jawatan KMKK baharu.-EDISI UKAS