Kontrak Majistret Mahkamah Bumiputera Dicadang Dilanjutkan Kepada Tiga Tahun
KUCHING: Tempoh kontrak Majistret Mahkamah Bumiputera Sarawak yang baharu dilantik dicadangkan dilanjutkan daripada satu tahun kepada tiga tahun bagi menarik dan mengekalkan calon berkelayakan, sekali gus memastikan kesinambungan perkhidmatan kehakiman negeri.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, tempoh kontrak semasa menjadi antara kekangan dalam usaha pengambilan Majistret, khususnya calon yang mempunyai kelayakan undang-undang dan pengalaman bersesuaian.
“Pelanjutan ini dapat membantu menarik dan mengekalkan calon yang berkelayakan, menjamin kesinambungan perkhidmatan kehakiman serta menyokong pengurusan kes yang berkesan dan akses kepada keadilan dalam tempoh yang sewajarnya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Isnin.
Pada masa ini katanya, Mahkamah Bumiputera Sarawak mempunyai empat orang Majistret yang berkhidmat di Mahkamah Bumiputera Daerah, dua orang Majistret di Mahkamah Bumiputera Residen dan seorang Presiden Mahkamah Rayuan Bumiputera.
Bagaimanapun, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Bumiputera Sarawak ketika ini mempunyai tujuh kekosongan jawatan Majistret Mahkamah Bumiputera Residen dan lapan kekosongan bagi Mahkamah Bumiputera Daerah.
“Pejabat Ketua Pendaftar sedang bekerjasama rapat dengan Unit Pembangunan dan Pengurusan Sumber Manusia Sarawak untuk mengenal pasti calon yang sesuai bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut,” ujarnya lagi. -EDISI UKAS