Kelab Muaythai Kenyalang Pertahan Kejuaraan Kejohanan Muaythai Piala Premier Sarawak
BINTULU: Kelab Muaythai Kenyalang mengekalkan statusnya selaku kuasa sukan tempur itu di Sarawak selepas
mempertahankan kejuaraan Kejohanan Muaythai Piala Premier Sarawak Edisi Ke-10 2026.
Detik manis itu dilakar selepas kejayaan merangkul 20 pingat emas pada temasya yang berlangsung dari 15 hingga 18 Oktober lalu di Naim Street Mall, Bintulu Paragon.
Kelab berpangalan di Kuching itu menyingkirkan cabaran dua pencabar terdekat iaitu Sting Muaythai Club selaku naib juara dengan 10 pingat emas dan Lion Muaythai Miri yang meraih 8 pingat emas di tempat ketiga.
Untuk rekod, ia merupakan kejuaraan kedua berturut-turut (2025 & 2026) buat kem kendalian Iswandy Bolhassan itu.
"Syabas dan tahniah kepada semua atlet yang telah berjaya memastikan Muaythai Kenyalang sekali lagi bergelar juara keseluruhan.
"Usaha gigih selama ini dan disiplin yang tinggi para atlet semua antara salah satu penyumbang kejayaan ini," ujarnya ketika ditemui.
Kejohanan Muaythai Piala Premier Sarawak Edisi Ke-10 2026 dianjurkan oleh Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Naim Street Mall Paragon, Bintulu serta rakan-rakan strategik yang lain.
Hampir 300 atlet tempatan dan luar negara berentap pada saingan kali ini yang menyaksikan pembabitan 29 kelab dari lapan buah negeri dan lapan negara.
Negeri terbabit ialah tuan rumah Sarawak, Sabah, Terengganu, Selangor, Pahang dan Johor.
Manakala penyertaan antarabangsa datang dari Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Yaman, Iran, Sepanyol, Colombia dan Syria yang membariskan atlet muaythai ternama.
Selain menyajikan pertembungan sengit membabitkan pelbagai kategori amatur hingga profesional, edisi kali turut dimeriahkan dengan pelbagai acara sampingan lain seperti persembahan seni bela diri yang menampilkan pertunjukan silat melibatkan pelbagai kelab tempatan dengan menghimpunkan 130 peserta.
Ia termasuk pertandingan dart, melastik dan e-sukan yang menghimpunkan 400 peserta secara keseluruhan. - EDISI UKAS