86 Projek Sekolah Daif Di Sarawak Siap, Usaha Naik Taraf Infrastruktur Pendidikan Diteruskan
KUCHING: Usaha memperkukuh infrastruktur pendidikan di Sarawak terus menunjukkan kemajuan apabila sebanyak 86 projek sekolah daif berjaya disiapkan sepenuhnya menerusi peruntukan bayaran pendahuluan berjumlah RM1 bilion.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, baki 54 projek lagi kini berada di pelbagai peringkat pelaksanaan bagi memastikan kemudahan pendidikan yang lebih selamat dan kondusif dapat disediakan kepada warga sekolah.
Menurutnya, usaha berkenaan amat penting memandangkan sebanyak 680 sekolah di Sarawak dikenal pasti berada dalam kategori tidak selamat untuk diduduki, sekali gus memerlukan pelaburan besar bagi menaik taraf dan menambah baik infrastruktur sedia ada.
“Pada masa ini, sebanyak 680 sekolah di Sarawak diklasifikasikan sebagai tidak selamat untuk diduduki, menunjukkan keperluan pelaburan besar dalam kerja naik taraf dan penambahbaikan infrastruktur sekolah di seluruh Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Roland Sagah memaklumkan bahawa enam daripada 12 projek sekolah di bawah inisiatif Projek Rakyat turut berjaya disiapkan, manakala baki enam lagi sedang dalam pelaksanaan atau di peringkat prapembinaan.
Katanya, Kerajaan Sarawak turut menyambut baik pengumuman peruntukan RM1.3 bilion oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan MADANI 2027 bagi menaik taraf 682 sekolah daif di seluruh negara.
Beliau berharap Sarawak dapat menerima sebahagian besar daripada peruntukan berkenaan bagi mempercepat usaha meningkatkan tahap keselamatan, keselesaan dan kualiti kemudahan pendidikan, khususnya di kawasan yang memerlukan perhatian segera.
Pada masa sama, beliau menggesa pihak berkuasa berkaitan, khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR), mempercepat pelaksanaan projek yang mengalami kelewatan, termasuk projek Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman.-EDISI UKAS