AIAC Sarawak Bakal Jadi Hab Penyelesaian Pertikaian Antarabangsa Borneo
KUCHING: Sarawak bakal memperkukuh kedudukannya sebagai hab serantau bagi penyelesaian pertikaian perniagaan antarabangsa menerusi penubuhan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Sarawak di Kuching, dengan peruntukan RM10 juta disediakan bagi menaik taraf sebuah bangunan warisan sebagai premis operasinya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato Sri Azalina Othman Said berkata, AIAC Sarawak bukan sekadar cawangan, sebaliknya akan berperanan sebagai hab serantau bagi Borneo yang melengkapi operasi pusat berkenaan di Kuala Lumpur.
Menurutnya, penubuhan hab itu bertujuan memperluas akses kepada mekanisme penyelesaian pertikaian alternatif (ADR), khususnya melibatkan urusan perniagaan dan pelaburan antarabangsa.
“Pelabur perlu mempunyai keyakinan bahawa tempat mereka melabur menyediakan perlindungan undang-undang, termasuk platform yang dapat mengendalikan pertikaian antarabangsa melalui proses yang lebih mudah dan pantas.
“AIAC Sarawak bukan sekadar cawangan, tetapi hab serantau yang akan memperluas akses kepada penyelesaian pertikaian perniagaan antarabangsa di Borneo,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta menghadiri majlis pemeteraian perjanjian penubuhan AIAC Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini pada Isnin.
Dato Sri Azalina menambah, peruntukan RM10 juta bagi menaik taraf bangunan warisan berkenaan merupakan sebahagian daripada persiapan menyediakan kemudahan operasi hab tersebut.
Katanya, penubuhan AIAC Sarawak turut dijangka membuka peluang kepada penglibatan lebih luas pengamal undang-undang, termasuk peguam dan firma guaman antarabangsa, dalam pengendalian pertikaian perniagaan rentas sempadan.
Beliau memaklumkan, AIAC Sarawak disasarkan memulakan operasi pada 2027, sekali gus memperluas peranan Sarawak dan rantau Borneo dalam ekosistem penyelesaian pertikaian antarabangsa.
Tambahnya, inisiatif itu juga selaras dengan usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat penyelesaian pertikaian yang memenuhi piawaian antarabangsa, khususnya bagi menyokong perkembangan sektor perdagangan dan pelaburan.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali.-EDISI UKAS