Projek Pembaikan Tebingan Sungai Limbang RM9.5 Juta Siap
LIMBANG: Projek pembaikan bahagian slip failure Tebingan Sungai Limbang bernilai RM9.5 juta berjaya disiapkan bagi memperkukuh struktur tebing sungai serta meningkatkan kestabilan kawasan berkenaan.
Penyerahan projek oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak kepada Majlis Daerah Limbang (MDL) disaksikan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail pada Sabtu.
Projek itu dilaksanakan dalam dua peringkat, merangkumi pembinaan gerbang masuk (entrance arch), tembok penahan sungai dan kerja-kerja berkaitan.
Susulan penyerahan tersebut, MDL mengambil alih tanggungjawab pengurusan dan penyelenggaraan tebingan sepanjang 1.8 kilometer, termasuk memastikan kemudahan serta infrastruktur di kawasan berkenaan disenggara secara berkala demi keselesaan dan keselamatan orang awam.
Dalam pada itu, Datuk Dr Abdul Rahman turut meninjau kawasan projek bagi melihat keadaan fizikal tebingan serta kemudahan yang disediakan selepas kerja-kerja pembaikan selesai.
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Limbang, Rozita Kulai, Setiausaha MDL, Michelle Hildalyne Jering Anthony Luta, Jurutera JKR Bahagian Limbang, Ir. Ts. Katerine Gerang serta Ahli Majlis Daerah Limbang, Kr. Daniel Hii Siang Lung.-EDISI UKAS