Kejayaan FEIAP Tarik Minat Delegasi Antarabangsa Kembali Ke Sarawak
KUCHING: Kejayaan Sarawak menjadi tuan rumah Perhimpunan Agung dan Konvensyen Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP) bulan lalu bukan sahaja memperkukuh jaringan kejuruteraan antarabangsa, malah menarik minat delegasi luar negara untuk kembali melawat negeri ini.
Pengerusi Institusi Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Sarawak, Datu Ir. Dr. Angelia Liew San Chuin berkata, penganjuran tersebut berjaya menarik lebih 2,000 pengunjung, termasuk kira-kira 800 delegasi dan ahli dari 25 negara.
“Pada pendapat saya, usaha ini sangat berjaya kerana kami menerima maklum balas daripada ahli-ahli ekonomi bahawa mereka benar-benar berhasrat untuk melawat Sarawak sekali lagi dan melihat bagaimana kita menguruskan hasil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Isnin.
Tambahnya, kunjungan itu turut bertujuan merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas kejayaan penganjuran FEIAP, selain menyampaikan jemputan menghadiri Majlis Makan Malam Tahunan IEM Sarawak pada penghujung November ini.
Majlis yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,300 tetamu, termasuk wakil industri dan komuniti kejuruteraan.
“Majlis makan malam tahunan akan diadakan pada hari Ahad, penghujung November 2026.
“Kami menjangkakan kehadiran kira-kira 1,300 tetamu. Majlis ini akan berlangsung di BCCK, dan kami berharap mendapat sambutan yang lebih menggalakkan daripada pihak industri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, IEM Sarawak turut menganjurkan acara larian IEM yang terbuka kepada orang ramai pada 6 Disember ini, dengan pelepasan dijadualkan berlangsung di Pusat Sains Sarawak.-EDISI UKAS