Pengambilan Kursus Strategik FTES Lonjak 128.5 Peratus, 6,246 Pelajar Terima Tawaran
KUCHING: Pengambilan pelajar bagi kursus di bawah Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) melonjak 128.5 peratus kepada 3,491 pelajar pada 2026 berbanding 1,528 pelajar pada 2025 sebelum penubuhan skim berkenaan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, peningkatan itu mencerminkan pertumbuhan pengambilan bagi kursus yang ditawarkan, merangkumi bidang strategik sejajar dengan keutamaan ekonomi masa depan Sarawak.
“Kursus-kursus yang ditawarkan merangkumi pelbagai bidang strategik yang selari dengan keutamaan ekonomi masa depan Sarawak seperti ekonomi hidrogen, pertanian ketepatan, pembangunan pusat data dan industri aeroangkasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Isnin.
Setakat 30 September 2026, seramai 6,246 pelajar telah menerima tawaran FTES di institusi pengajian tinggi milik Sarawak (SIHL).
Daripada jumlah itu, Swinburne University of Technology Sarawak Campus mencatatkan jumlah tertinggi dengan 2,802 pelajar, diikuti University of Technology Sarawak dengan 2,031 pelajar, Curtin University Malaysia dengan 949 pelajar dan i-CATS University College dengan 464 pelajar.
Bagi membantu meringankan beban kewangan pelajar daripada isi rumah berpendapatan rendah, skim itu turut menyediakan elaun tahunan RM15,000 kepada penerima yang layak bagi menampung perbelanjaan sara hidup dan penginapan.
Setakat ini, seramai 3,195 pelajar yang menerima tawaran FTES layak menerima bantuan elaun berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atas usaha berterusan mendekati masyarakat dan mempromosikan FTES, khususnya di kawasan luar bandar.-EDISI UKAS