Sukan Bentuk Belia Sihat, Berdisiplin Dan Berdaya Saing
LIMBANG: Penglibatan golongan belia dalam aktiviti sukan dan program pembangunan perlu dipertingkat bagi menggalakkan gaya hidup sihat serta menghindarkan mereka daripada terjebak dalam aktiviti tidak berfaedah.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, golongan muda perlu memanfaatkan masa lapang dengan menyertai aktiviti sukan yang bukan sahaja menyumbang kepada kecergasan fizikal, malah membentuk disiplin dan sahsiah diri.
“Saya minta kepada anak-anak muda kita di Limbang, berkecimpunglah dalam bidang sukan dan program-program aktiviti supaya mereka tidak tersasar kepada perkara-perkara yang tidak sihat,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Hari Sukan Negara (HSN) 2026 Peringkat Bahagian Limbang pada Sabtu.
Menurut beliau, amalan gaya hidup sihat dan aktif perlu dijadikan rutin harian masyarakat bagi meningkatkan tahap kesihatan serta mengukuhkan perpaduan melalui penyertaan dalam aktiviti sukan dan riadah.
Beliau turut menekankan kepentingan menaik taraf kemudahan balapan di Limbang bagi menyediakan persekitaran sukan yang lebih kondusif, sekali gus menggalakkan penyertaan masyarakat dan menyokong pembangunan atlet tempatan.
Jelasnya, usaha membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat turut selaras dengan Visi Sukan Negara 2030 yang menyasarkan Malaysia menjadi sebuah negara bersukan menjelang 2030.
Jelas beliau lagi, HSN 2026 juga memberi tumpuan kepada penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, veteran, wanita, belia, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak bagi memperluas akses kepada aktiviti sukan serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penjagaan kesihatan.
Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Limbang, Rozita Kulai, Penolong Pegawai Daerah Limbang, Mariati Samat, Pegawai Belia dan Sukan Limbang, Rynnille Elsther Peter serta Penolong Komisioner Penjara Limbang, Usman Mala.-EDISI UKAS