Dato’ Sri Azalina Othman Tinjau Pembinaan Pejabat Cawangan AIAC Sarawak
KUCHING: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said mengadakan lawatan tapak ke Pejabat Cawangan Asian International Arbitration Centre (AIAC) Sarawak di Muzium Tekstil Sarawak bagi meninjau perkembangan penyediaan premis berkenaan di sini, pada Isnin.
Lawatan itu turut memberi ruang kepada delegasi meneliti keadaan bangunan serta cadangan penambahbaikan bagi memastikan kesesuaiannya dengan keperluan operasi AIAC Sarawak.
AIAC merupakan institusi yang menyediakan perkhidmatan penyelesaian pertikaian alternatif (ADR), termasuk timbang tara dan mediasi yang membolehkan pihak terlibat menyelesaikan pertikaian melalui kaedah selain prosiding mahkamah biasa.
Operasi cawangan di Sarawak dijangka memperluas akses kepada perkhidmatan berkenaan, khususnya dalam urusan komersial, kontrak pembinaan dan pelaburan, sekali gus menyokong keperluan sektor perniagaan di negeri ini.
Turut hadir Presiden AIAC Court of Arbitration, Dato’ Mary Lim Thiam Suan, Ketua Pegawai Eksekutif AIAC, Datuk Danesh Chandran, serta wakil Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak (SAG), Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan Jabatan Muzium Sarawak.-EDISI UKAS