Projek Naik Taraf Jalan Nanga Ngungun–Nanga Bat RM39.2 Juta Pemangkin Pembangunan Luar Bandar
KANOWIT: Projek naik taraf Jalan Nanga Ngungun–Nanga Bat bernilai RM39.2 juta dijangka meningkatkan aksesibiliti penduduk luar bandar serta menyokong aktiviti ekonomi dan memudahkan akses kepada perkhidmatan asas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, projek sepanjang 4.246 kilometer itu dilaksanakan di bawah kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Bahagian Sibu dengan menggunakan piawaian penambahbaikan jalan jenis R1.
“Apabila siap kelak, ia dijangka meningkatkan keselesaan perjalanan, memperbaiki hubungan antara penempatan dan memudahkan pergerakan penduduk, selain menyokong aktiviti ekonomi serta akses kepada perkhidmatan asas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Upacara Miring dan Kesyukuran Projek Naik Taraf Jalan Nanga Ngungun ke Nanga Bat di sini pada Sabtu.
Anyi berharap pihak kontraktor melaksanakan kerja mengikut spesifikasi, standard keselamatan dan jadual ditetapkan, selain berusaha menyiapkan projek lebih awal daripada tarikh akhir kontrak pada 24 Februari 2028.
Beliau turut memaklumkan beberapa projek pembangunan di kawasan Ngemah Tengah telah siap, antaranya Projek Rintis Naik Taraf Klinik Kesihatan Ngungun bernilai RM5.75 juta pada 3 Julai 2025, pembinaan Pejabat Pertanian Nanga Ngungun bernilai RM3.7 juta pada 20 Februari 2024 serta Projek Skim Elektrifikasi Luar Bandar (RES) bernilai RM13.1 juta.
Turut hadir semasa maklis tersebut ialah wakil Residen Bahagian Sibu Maria Nadja Jimmy, wakil Pegawai Daerah Kanowit Hermon Gilbert Sinju, wakil Jurutera Bahagian Sibu Dick, dan Pengerusi Persafe Engineering Sdn Bhd Dato Isaac Lugom.-EDISI UKAS