35 Projek Bernilai RM10 Juta Siap Dilaksanakan Di Enam Kampung Balai Ringin
SIMUNJAN: Sebanyak 35 projek pembangunan bernilai RM10.07 juta berjaya disiapkan di enam kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin sejak 2015 hingga 2026, melibatkan kemudahan asas dan infrastruktur yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, projek berkenaan dilaksanakan di Kampung Mentu, Sega, Kedumpai, Sungai Indai, Pendawan dan Pelaie menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Balai Ringin serta dua agensi kerajaan.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 32 projek dilaksanakan menerusi RTP DUN Balai Ringin, manakala dua projek dilaksanakan oleh Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) dan satu lagi oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).
“Antara projek yang telah disiapkan termasuk pembinaan dan naik taraf balai raya, pembinaan jambatan baharu, baik pulih jalan kampung dan jalan kubur, baik pulih jambatan serta jeti besi dan pembinaan laluan rentas.
“IRSDA pula melaksanakan kerja penyelenggaraan sungai di kawasan Mentu dan Kedumpai, manakala JBALB melaksanakan pembinaan empangan air baharu untuk Kampung Mentu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Balai Raya Kampung Pelaie Atas, di sini pada Ahad.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Snowdan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin mengumumkan enam cadangan projek RTP bagi 2027 dengan anggaran kos keseluruhan RM1.3 juta untuk kawasan Pendawan Ulu, Sega Baru, Sungai Indai, Pelaie dan Kampung Mawang di Sebuyau.
Cadangan berkenaan merangkumi lima projek naik taraf jalan kampung bernilai RM200,000 setiap satu serta pembinaan sebuah balai raya baharu bernilai RM300,000.
Lima projek jalan yang dicadangkan ialah naik taraf jalan Kampung Fasa 3 Rumah Lorna Jabing dan Rumah Rayan di Mawang, Sebuyau; jalan Fasa 2 Rumah Jeffert Masan di Pelaie, Sebuyau; jalan Fasa 2 Rumah Rayang menuju Sekolah Kebangsaan Kedumpai; jalan Kampung Rumah Micheal di Sega Baru, Sebuyau; serta jalan Kampung Rumah Edwin di Sungai Indai Atas.
Sementara itu, pembinaan balai raya baharu dicadangkan di Rumah Nichulis Umibang, Pendawan Ulu.
Sehubungan itu, beliau berharap cadangan projek berkenaan dapat dipertimbangkan untuk kelulusan dan dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur serta taraf hidup penduduk di kawasan terbabit. -EDISI UKAS