Graduan FTES Sarawak Tidak Dihalang Bina Karier Di Luar Negara
KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak menghalang graduan yang menerima manfaat Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) untuk membina kerjaya di luar negara, sebaliknya memberi kebebasan kepada mereka memilih peluang pekerjaan berdasarkan kemampuan dan kepakaran masing-masing.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata pendekatan itu bertujuan melahirkan modal insan berdaya saing di peringkat antarabangsa, sekali gus membuktikan kualiti institusi pendidikan tinggi di Sarawak.
“Kami memberi mereka kebebasan untuk memilih kerana kami ikhlas mahu membantu rakyat kita.
“Kami berharap mereka dapat mencari pekerjaan di mana-mana sahaja di dunia. Jika mereka diterima bekerja di luar negara, ini bermakna institusi pendidikan kita mempunyai kualiti dan standard yang setanding,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Menurutnya, kerajaan negeri berharap graduan yang memperoleh pengalaman dan kepakaran di luar negara akhirnya kembali menyumbang kepada pembangunan Sarawak, khususnya apabila ekonomi negeri terus berkembang.
Dalam pada itu, beliau berkata, usaha melahirkan modal insan berkemahiran tinggi turut menjadi faktor penting dalam menarik kemasukan pelabur asing ke Sarawak.
Katanya, pelabur antarabangsa akan lebih yakin untuk mengembangkan operasi industri mereka sekiranya Sarawak mempunyai tenaga kerja tempatan yang berpengetahuan serta mampu memenuhi keperluan sektor berteknologi tinggi.
“Jika pelabur luar mengetahui bahawa kita mempunyai modal insan yang mampu membantu membangunkan industri mereka, mereka akan datang ke sini,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan anak Sarawak membina kerjaya di peringkat antarabangsa juga merupakan pencapaian yang membanggakan negeri.-EDISI UKAS