Sarawak Bakal Jadi Tuan Rumah Kejohanan Robotik Antarabangsa WRO 2027
KUCHING: Sarawak bakal menjadi tuan rumah Kejohanan Terbuka World Robot Olympiad (WRO) 2027 yang akan menjadi platform kepada bakat muda tempatan mempamerkan keupayaan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta robotik di pentas antarabangsa.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penganjuran kejohanan berprestij itu mencerminkan perkembangan pesat ekosistem STEM dan robotik di negeri ini.
“Penganjuran WRO Open Championship 2027 akan menyediakan peluang berharga untuk mengetengahkan bakat tempatan Sarawak di pentas antarabangsa, selain mengalu-alukan penyertaan pelajar, pendidik, jurulatih dan peminat robotik dari seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Menurutnya, Sarawak mempunyai rekod pencapaian membanggakan apabila muncul juara keseluruhan Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) sebanyak 10 kali antara 2014 hingga 2025.
Malah, tahun ini katanya menyaksikan penyertaan tertinggi sebanyak 256 pasukan dari Sarawak dalam NRC, sekali gus meletakkan negeri ini di kedudukan ketiga tertinggi dari segi penyertaan seluruh negara.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian SMK Chung Hua (CF) Miri dan SJK(C) Chung Hua Krokop yang bakal mewakili Malaysia ke pertandingan akhir WRO di Puerto Rico pada Disember ini selepas kejayaan cemerlang di peringkat kebangsaan.
Selain itu katanya, Borneo International School turut mengharumkan nama Sarawak apabila meraih tempat kedua dunia bagi kategori RoboMission Junior pada WRO Open Championship Europe di Croatia, minggu lalu.
Pencapaian tersebut jelasnya membuktikan keupayaan bakat muda Sarawak untuk bersaing di peringkat global, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai antara peneraju pembangunan STEM dan robotik negara.-EDISI UKAS