Lawatan Ke DUN Sarawak Perkukuh Kefahaman Wakil Masyarakat Mengenai Dasar & Agenda Pembangunan
KUCHING: Seramai 26 Ahli Majlis Daerah Sebuyau dan 10 ahli Jawatankuasa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sebuyau mengadakan lawatan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Isnin bagi mengikuti perjalanan persidangan serta mendapatkan pendedahan mengenai dasar dan agenda pembangunan negeri.
Mereka turut berpeluang mengikuti ucapan penggulungan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi.
Program berkenaan memberi peluang kepada peserta memahami dengan lebih dekat proses persidangan DUN, khususnya perbincangan berkaitan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 dan Anggaran Perbelanjaan Pembangunan bagi tahun 2027.
Selain itu, peserta turut mendapat pendedahan mengenai perkara berkaitan pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas khususnya penyediaan bekalan air, utiliti serta peluasan liputan telekomunikasi yang menjadi antara keperluan penting masyarakat luar bandar.
Lawatan tersebut juga menjadi platform mengeratkan hubungan dan memperkukuh kerjasama antara wakil pihak berkuasa tempatan dengan pemimpin masyarakat dalam mengenal pasti keperluan pembangunan serta kebajikan penduduk di kawasan Sebuyau.
Pendedahan secara langsung terhadap perjalanan persidangan DUN diharap dapat meningkatkan kefahaman peserta mengenai proses penggubalan dasar dan perancangan pembangunan negeri, sekali gus membantu mereka memainkan peranan lebih berkesan dalam menyampaikan aspirasi masyarakat setempat.-EDISI UKAS