Lebih 17,000 Permohonan ALAF Diterima, 5,000 Isi Rumah Luar Bandar Disasar Nikmati Bekalan Elektrik
KUCHING: Lebih 17,000 permohonan diterima bagi Program Alternatif Luar Bandar (ALAF) di Sarawak dengan Fasa 5 pelaksanaannya dijangka memberi manfaat kepada 5,000 isi rumah, mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperluas akses bekalan elektrik di kawasan luar bandar.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, program itu akan diteruskan ke fasa seterusnya bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk memastikan lebih banyak isi rumah luar bandar menikmati bekalan elektrik.
“Bagi Fasa 5, kita menjangkakan 5,000 isi rumah akan mendapat manfaat, sedangkan permohonan yang diterima melebihi 17,000. Oleh itu, pelaksanaan ALAF perlu diteruskan ke fasa-fasa seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Katanya, jumlah permohonan yang diterima melebihi sasaran penerima manfaat bagi Fasa 5, justeru pelaksanaan secara berperingkat diperlukan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada pemohon yang layak.
Menurut beliau, pelaksanaan program itu menggunakan sistem giliran, dengan permohonan yang diterima lebih awal diberikan keutamaan bagi memastikan proses pelaksanaan berjalan secara teratur.
Dalam usaha meningkatkan kestabilan dan kebolehpercayaan bekalan elektrik di kawasan luar bandar, Kerajaan Sarawak katanya turut meluluskan peruntukan RM150 juta bagi projek infrastruktur elektrik di Samarahan dan RM198 juta bagi Bahagian Betong.
Selain itu, kerajaan terus memperkukuh infrastruktur utiliti menerusi pelaksanaan Pelan Induk Bekalan Air Sarawak dan Sistem Grid Air Sarawak, termasuk usaha menggantikan paip lama serta menaik taraf kemudahan rawatan, penghantaran dan pengagihan air.
Bagi sektor telekomunikasi, sebanyak 350 tapak baharu telah diluluskan di bawah inisiatif JENDELA 2, dengan penentuan lokasi sebenar masih dimuktamadkan bersama agensi berkaitan.
Projek-projek berkenaan merupakan antara usaha berterusan kerajaan negeri untuk memperkukuh infrastruktur bekalan elektrik, khususnya bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan luar bandar.-EDISI UKAS