Kerajaan Sarawak Peruntuk RM671,000 Kawal Rabies Di Sempadan Indonesia Pada 2027
KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM671,000 pada 2027 bagi memperkukuh usaha pencegahan dan kawalan rabies di kawasan sempadan darat Sarawak-Indonesia.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk pembelian vaksin antirabies bagi anjing, bekalan operasi penyingkiran anjing secara bersasar serta peralatan operasi berkaitan.
“Peruntukan ini amat penting bagi mengekalkan keupayaan operasi barisan hadapan Immune Belt Enforcement Team (IBET), memperkukuh langkah-langkah pencegahan dan kawalan rabies di kawasan sempadan, serta menyokong usaha berterusan Kerajaan Sarawak untuk membasmi rabies di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Sementara itu, Dato Sri John memaklumkan, sehingga Oktober 2026, IBET berjaya memberikan vaksinasi kepada 13,616 ekor anjing di sepanjang sempadan Sarawak-Indonesia, sekali gus mencapai kadar imuniti kelompok sebanyak 94.33 peratus.-EDISI UKAS