Projek Naik Taraf Jalan Stutong Link, Bulatan Stutong Bakal Atasi Kesesakan Trafik
KUCHING: Projek Naik Taraf Jalan Stutong Link dan Bulatan Stutong bernilai RM88.99 juta dijangka dapat mengatasi masalah kesesakan trafik di kawasan Stutong dan sekitarnya.
Projek bakal bermula pada 20 Oktober ini dan dijadualkan siap pada 19 Oktober 2028 itu akan meningkatkan kapasiti jalan raya serta melancarkan aliran trafik, khususnya di laluan utama yang menjadi tumpuan pengguna jalan raya.
Terdahulu, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyaksikan Majlis Penyerahan Tapak projek berkenaan di sini pada Isnin.
Antara komponen utama projek ialah pelebaran Jalan Stutong Link sepanjang kira-kira 3.311 kilometer daripada jalan satu laluan dua hala kepada jalan berkembar mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR) U5.
Selain itu, Bulatan Stutong turut dinaik taraf kepada persimpangan berlampu isyarat bagi meningkatkan kecekapan pengurusan trafik serta mengurangkan kesesakan di kawasan persimpangan berkenaan.
Projek tersebut juga merangkumi pembinaan sebuah jambatan konkrit bertetulang baharu sepanjang 90 meter merentasi Sungai Stutong, termasuk struktur akses ke jambatan dan tembok penahan tanah.
Skop kerja lain melibatkan penambahbaikan struktur turapan jalan, kerja tanah, pembinaan sistem perparitan, pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat trafik serta pengalihan utiliti yang terlibat.
Menurut kenyataan media JKR Sarawak hari ini, laluan lencongan sementara, lampu jalan sementara serta langkah pengurusan trafik akan disediakan sepanjang tempoh pembinaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan meminimumkan gangguan trafik.
Projek berkenaan dilaksanakan oleh Ibraco Construction Sdn. Bhd. selaku kontraktor yang dilantik, manakala Jurutera CSD Sdn. Bhd. bertindak sebagai perunding projek dengan tempoh pelaksanaan selama 24 bulan.
JKR Sarawak turut memberi komitmen untuk memantau pelaksanaan projek secara berterusan bagi memastikan kerja pembinaan dilaksanakan mengikut jadual, spesifikasi teknikal serta piawaian kualiti dan keselamatan yang ditetapkan.
Sehubungan itu, orang ramai diminta memberikan kerjasama dan bersabar sepanjang tempoh pembinaan, khususnya ketika pelaksanaan kerja serta pengurusan trafik sementara di kawasan terlibat.-EDISI UKAS