Projek Naik Taraf Lapangan Terbang Miri Dijangka Bermula 2027
KUCHING: Projek menaik taraf Lapangan Terbang Miri dengan siling peruntukan sebanyak RM445 juta dijangka bermula pada suku kedua 2027 dan siap menjelang 2030.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, proses tender projek itu sedang berjalan selepas proses Kejuruteraan Nilai (VE) selesai pada Ogos 2026.
Menurut beliau, projek berkenaan dilaksanakan melalui kerjasama berterusan antara kementeriannya dengan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.
“Projek naik taraf ini akan meningkatkan kapasiti pengendalian penumpang lapangan terbang daripada dua juta kepada empat juta penumpang setahun, selain menambah baik kemudahan serta keupayaan operasinya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Isnin.
Dato Sri Lee menambah, JKR Malaysia selaku agensi pelaksana turut akan menerapkan identiti budaya unik dan warisan etnik Sarawak dalam reka bentuk lapangan terbang itu, di samping memastikan pematuhan kepada piawaian moden serta keperluan operasi lapangan terbang.
Jelasnya, lapangan terbang yang dinaik taraf itu akan memperkukuh peranan Miri sebagai pintu masuk utara Sarawak, selain meningkatkan hubungan udara dan menyokong pertumbuhan penumpang serta pembangunan ekonomi serantau.-EDISI UKAS