Naik Taraf STOLport Long Banga, Ba’kelalan Dilaksana 2027
KUCHING: Kerajaan Persekutuan meluluskan projek menaik taraf STOLport Long Banga dan Ba’kelalan bagi pelaksanaan pada 2027 di bawah Tabung Pembangunan Lapangan Terbang (ADF).
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kelulusan itu diperoleh hasil usaha berterusan kementeriannya melalui perbincangan dan penilaian teknikal bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Menurut beliau, kerja naik taraf itu merangkumi penambahbaikan kemudahan terminal serta penambahbaikan atau pemanjangan landasan, sekiranya bersesuaian berdasarkan keadaan tapak dan penilaian teknikal.
“Penambahbaikan ini dijangka meningkatkan keupayaan operasi, keselamatan penerbangan dan hubungan udara bagi masyarakat luar bandar di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Isnin.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Sri Lee berkata, beberapa inisiatif pembangunan lapangan terbang dan STOLport lain di Sarawak turut berjalan mengikut jadual.
Ini termasuk kerja menaik taraf Lapangan Terbang Limbang dan STOLport Bario, selain cadangan pembangunan Lapangan Terbang Lawas serta STOLport Bebuling.
Tegasnya, usaha berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memperkukuh dan memodenkan infrastruktur penerbangan di seluruh Sarawak.-EDISI UKAS