299 Alat Bantu Navigasi Dipasang Di Sungai Utama Sarawak
KUCHING: Sebanyak 299 alat bantu navigasi (AtoN) dipasang di sungai utama dan kawasan perairan tertentu di Sarawak setakat 31 Ogos 2026 bagi meningkatkan keselamatan pelayaran serta melindungi penumpang, muatan dan komuniti yang bergantung kepada pengangkutan sungai.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pemasangan alat berkenaan membantu pengendali bot mengenal pasti laluan pelayaran dan melintasi jambatan dengan lebih selamat.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 82 pemasangan dilakukan di kawasan Kuching, 152 di Sibu dan 65 di Miri.
“Pemasangan itu merangkumi 17 boya navigasi, 23 lampu suar, 21 lampu transit, 17 lampu jambatan, 93 tanda siang jambatan dan papan tanda, serta 128 papan tanda lalu lintas sungai,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Isnin.
Selain itu, katanya, sebanyak 93 penanda siang jambatan dan papan tanda serta 128 papan tanda lalu lintas sungai turut dipasang.
“AtoN ini meningkatkan keselamatan perjalanan sungai dengan membantu pengendali bot menavigasi laluan air dan melintasi jambatan, sekali gus melindungi penumpang, muatan serta komuniti yang bergantung kepada pengangkutan sungai,” ujarnya lagi.
Penyediaan alat bantu navigasi itu juga penting bagi menyokong keselamatan pergerakan sungai, terutama bagi komuniti yang menjadikan pengangkutan air sebagai antara penghubung utama untuk urusan harian dan penghantaran barangan. -EDISI UKAS