TYT Sarawak & Toh Puan Terima Kunjungan Hormat Jawatankuasa Sarawak Regatta 2026
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menerima kunjungan hormat delegasi Jawatankuasa Induk Sarawak Regatta dan Kuching Waterfront Festival 2026 di Astana Negeri Sarawak, Petra Jaya pada Isnin.
Kunjungan yang diketuai Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah itu bertujuan menyampaikan warkah persilaan rasmi kepada Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dan Toh Puan bagi menyempurnakan Festival Gendang Sarawak 2026 pada malam 31 Oktober serta Majlis Penangguhan Sarawak Regatta dan Kuching Waterfront Festival 2026 pada 1 November depan.
Dalam pertemuan itu, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dan Toh Puan menzahirkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur atas komitmen dan usaha memastikan kelancaran penganjuran kedua-dua acara berprestij berkenaan.
Penganjuran acara tersebut turut dilihat berpotensi menarik penyertaan ramai, termasuk pelancong dari dalam dan luar negara, sekali gus memeriahkan sektor pelancongan Sarawak.
Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi turut menzahirkan harapan agar aspek keselamatan sentiasa diberikan keutamaan oleh semua peserta sepanjang acara berlangsung bagi memastikan festival berkenaan berjalan lancar dan jayanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (Industri Kreatif dan Seni Persembahan), Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (Pelancongan), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Residen Bahagian Kuching, Dayang Hajah Joanita Azizah Abang Haji Morshidi serta Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak, Noor Seela Noor Sulaiman.
Hadir sama, Kontroller Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Leftenan Kolonel (Bersara) Ding Tiew Wong, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Julin Alen, Timbalan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Joachim Paggang Jabong yang mewakili Pengarah UKAS serta wakil Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Negeri Sarawak, Kamaludin Busrah.-EDISI UKAS