Jabatan Muzium Sarawak Catat 412,114 Pengunjung Setakat September 2026
KUCHING: Jabatan Muzium Sarawak merekodkan seramai 412,114 pengunjung ke 20 buah muzium aktif, termasuk kubu dan galeri di seluruh negeri dari Januari hingga September 2026.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pencapaian itu mencerminkan perkembangan positif sektor permuziuman negeri dalam memperluas landskap kebudayaan serta memelihara warisan Sarawak.
"Jabatan Muzium menguruskan sebanyak 20 buah muzium aktif, termasuk kubu dan galeri di seluruh Sarawak.
"Muzium, kubu dan galeri ini telah merekodkan seramai 412,114 pengunjung dari Januari hingga September 2026, iaitu peningkatan sebanyak 11.16 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Menurutnya, Muzium Budaya Borneo terus menjadi tarikan utama dengan merekodkan 1.7 juta pengunjung sejak dibuka pada 2022.
Jelasnya, muzium itu turut menerima kunjungan tetamu kenamaan, termasuk duta-duta serta pereka fesyen terkemuka China, Guo Pei yang dikenali sebagai Queen of Couture.
Sementara itu jelasnya, Muzium Warisan Industri Limbungan Brooke telah menerima seramai 88,766 pengunjung sejak dibuka pada 21 April lepas. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini & Muhd Zulfadhli Ahmad Sharir