Sarawak Wartakan 38 Bangunan, Monumen Dan Tapak Warisan
KUCHING: Sebanyak 38 bangunan, monumen, tapak bersejarah dan tapak warisan bawah air di Sarawak telah diwartakan di bawah Ordinan Warisan Sarawak 2019 bagi memastikan khazanah warisan negeri terus dilindungi dan dipelihara.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan tahun ini termasuk Program Inventori Warisan Ketara Sarawak yang merekodkan 407 inventori warisan pada 10 hingga 14 Ogos 2026.
"Jabatan Muzium Sarawak turut menubuhkan Jawatankuasa Kerja Warisan Sarawak (JKKWS) serta menyempurnakan kerja pemeliharaan Memorial Pertempuran Beting Maro (1849)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Dalam pada itu katanya, jabatan tersebut turut menerima sumbangan peralatan industri minyak dan gas daripada Sarawak Shell Berhad, Cawangan Miri pada suku kedua tahun ini, dalam usaha memelihara warisan bersama.
Katanya, sumbangan itu terdiri daripada sebuah Subsea Wellhead dan satu set pemasangan peralatan pelantar penggerudian (Drilling Rig Equipment Assembly) yang menggambarkan evolusi teknologi industri minyak dan gas Sarawak selama lebih satu abad.
Jelasnya, sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk menghargai sumbangan tersebut, jabatan akan melancarkan pameran sementara selama tiga bulan bertajuk 'Donated Legacy: Building Collections, bermula November 2026'.
"Pameran itu akan memaparkan 63 objek terpilih daripada koleksi Jabatan Muzium Sarawak dan diadakan bersempena Persidangan Warisan Sarawak yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 24 November 2026 di Muzium Budaya Borneo (BCM)," jelas beliau. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini & Muhd Zulfadhli Ahmad Sharir