TYT Sarawak & Toh Puan Terima Kunjungan Hormat Ketua Hakim Besar Sabah dan Sarawak
KUCHING: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menerima kunjungan hormat Ketua Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Dato Sri Hajah Azizah Nawawi di Astana Negeri Sarawak pada Selasa.
Kunjungan hormat itu antara lain bertujuan menyampaikan watikah persilaan rasmi kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Toh Puan bagi menghadiri serta menyempurnakan Majlis Makan Malam Gala sempena The Opening of the Legal Year Sabah and Sarawak 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Januari 2027.
Pertemuan tersebut turut memberi peluang kepada Dato’ Sri Hajah Azizah memperkenalkan barisan hakim serta anggota delegasi yang hadir, selain bertukar pandangan mengenai perkembangan dan usaha memperkukuh sistem kehakiman di Sarawak.
Dalam pertemuan itu, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi menyarankan agar penyediaan bangunan dan kemudahan Mahkamah Tinggi di setiap bahagian di Sarawak diberikan perhatian bagi memperluas akses rakyat kepada perkhidmatan kehakiman, khususnya penduduk luar bandar dan pedalaman.
Menurut beliau, cadangan berkenaan pernah dibangkitkan ketika menyandang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), mengambil kira keluasan geografi Sarawak serta cabaran masyarakat yang perlu menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan perkhidmatan mahkamah.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar pihak kehakiman mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Sarawak bagi mengenal pasti lokasi dan tanah strategik yang bersesuaian untuk pembangunan kemudahan mahkamah.
Beliau turut menekankan kepentingan menyediakan infrastruktur mahkamah yang moden, lengkap dan kondusif bagi memastikan prosiding kehakiman dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, teratur dan berkesan.
Selain itu, aspek keselamatan serta kebajikan hakim turut diberikan perhatian, termasuk penyediaan laluan masuk dan keluar berasingan, kemudahan kediaman dan kenderaan rasmi yang bersesuaian.
Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi turut berpandangan bahawa skim perkhidmatan dan umur persaraan hakim wajar diberikan pertimbangan khusus dengan mengambil kira pengalaman, kepakaran serta kepentingan menjamin kebebasan institusi kehakiman.
Dalam masa sama, beliau menyarankan agar Persatuan Peguam Bela Sarawak memperluas perwakilan dengan melibatkan ahli dari setiap bahagian bagi memastikan kepentingan pengamal undang-undang di seluruh negeri dapat diketengahkan secara lebih menyeluruh.
Sementara itu, Dato Sri Hajah Azizah turut berkongsi perkembangan pembangunan infrastruktur kehakiman, termasuk perancangan mewujudkan sebuah mahkamah khas bagi mengendalikan kes jenayah serta empat mahkamah bagi kes sivil.
Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi menyambut baik perancangan tersebut yang berpotensi meningkatkan kecekapan pengurusan kes, mempercepat proses perbicaraan dan menambah baik penyampaian perkhidmatan kehakiman kepada masyarakat.
Beliau turut berharap agar hubungan dan kerjasama antara institusi kehakiman dengan Kerajaan Sarawak terus diperkukuh demi memastikan sistem perundangan dan kehakiman yang cekap, berwibawa serta mudah diakses oleh rakyat.
Mengiringi Dato Sri Hajah Azizah dalam kunjungan itu ialah Hakim Mahkamah Tinggi Sarawak, Wong Siong Tung, Amelati Parnell dan Dato’ Faridz Gohim Abdullah, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Sarawak, Zaleha Mohd Yusuf Pan, Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Datuk Azreena Aziz serta Presiden Persatuan Peguam Bela Sarawak, Gunvir Singh Sandu.-EDISI UKAS