Tiga Penternak Kerbau Lawas Diiktiraf Atas Amalan Penternakan Terbaik
LAWAS: Kejayaan tiga penternak kerbau dari Lawas meraih kedudukan terbaik dalam Pertandingan Penternak Jaya sempena Agrofest 2026 mencerminkan kepentingan pengurusan ladang yang sistematik dalam memperkukuh industri ternakan Sarawak.
Pertandingan anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak itu menilai prestasi penternak berdasarkan beberapa aspek utama, termasuk pengurusan ladang, kesihatan ternakan, pelaksanaan biosekuriti, pengurusan rekod serta hasil jualan ternakan sepanjang tempoh penilaian.
Selain itu, ia juga bertujuan mengiktiraf penternak yang menunjukkan prestasi cemerlang, selain menggalakkan penerapan Amalan Penternakan Baik (Good Farming Practices) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan ladang, produktiviti dan keuntungan.
Inisiatif itu turut menggalakkan penggunaan teknologi moden, pencegahan penyakit serta penjagaan kebajikan ternakan bagi memastikan pengeluaran hasil ternakan yang berkualiti dan selamat.
Melalui pengiktirafan berkenaan, persaingan sihat dan perkongsian amalan terbaik dalam kalangan penternak diharap dapat dipertingkatkan, sekali gus menyokong keterjaminan makanan serta pembangunan industri ternakan Sarawak.
Sementara itu, Vincent Sia dari Kampung Gelapas Laut muncul juara dan menerima piala, sijil serta wang tunai RM4,000.
Tempat kedua dimenangi Lasung Tagal dari Kampung Long Sebulu, Trusan yang membawa pulang piala, sijil dan wang tunai RM3,000, manakala Sakai Dawat dari Kampung Long Langai, Ba’kelalan, menduduki tempat ketiga dengan hadiah berupa piala, sijil dan wang tunai RM2,000.
Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pegawai Veteriner Bahagian Lawas, Robine Asut di perkarangan Pejabat Veteriner Lawas pada Isnin. - EDISI UKAS