Acara Perniagaan Sarawak Catat Impak Ekonomi RM641.5 Juta, Melebihi Sasaran Tahunan
KUCHING: Sarawak berjaya memperoleh 153 acara perniagaan pada 2026 yang dijangka menjana impak ekonomi keseluruhan sebanyak RM641.5 juta, melebihi sasaran tahunan sebanyak 59 peratus.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pencapaian itu turut mengatasi sasaran 140 acara perniagaan yang ditetapkan bagi tahun ini, sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi acara perniagaan antarabangsa.
“Acara yang berjaya diperoleh itu dijangka menarik 66,625 delegasi, iaitu 35 peratus melebihi sasaran 49,207 delegasi, selain menjana anggaran hasil cukai sebanyak RM33.6 juta, mengatasi sasaran RM24.2 juta sebanyak 39 peratus,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Tambah beliau, Sarawak turut memberi penekanan kepada penganjuran acara perniagaan bernilai tinggi yang selaras dengan sektor keutamaan dan aspirasi pembangunan negeri di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Acara perniagaan bernilai tinggi ini bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi, malah menyediakan peluang untuk perkongsian ilmu, pembangunan profesional dan kerjasama penyelidikan antarabangsa,” katanya.
Bagi 2026 pula katanya, sebanyak 171 acara perniagaan dijadual berlangsung di Sarawak dengan unjuran impak ekonomi keseluruhan RM731.2 juta.
Setakat ini, 125 acara telah dianjurkan dengan kehadiran 52,332 delegasi, sekali gus menjana anggaran impak ekonomi RM470.2 juta termasuk hasil cukai RM26.1 juta.
Antara acara utama yang berlangsung ialah Asia Pacific Aerospace Conference and Exhibition 2026, Kongres Asia ke-24 mengenai Kesihatan Pekerjaan, Borneo International Water and Wastewater Exhibition and Conference 2026 serta Perhimpunan Agung dan Simposium Saintifik (ICOMOS) ke-22.-EDISI UKAS