Kolej Universiti i-CATS Kini Berstatus Universiti Penuh
KUCHING: Kolej Universiti i-CATS kini dinaik taraf kepada status universiti penuh, sekali gus membuka ruang kepada peluasan program akademik yang memenuhi keperluan industri dan pembangunan modal insan Sarawak.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kelulusan perubahan status itu telah berkuat kuasa dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus menyokong usaha universiti itu memperluas penawaran program akademik, khususnya dalam bidang yang mempunyai kepentingan strategik kepada Sarawak.
“Perkara itu juga akan diselaraskan bersama Kementerian Pendidikan Tinggi, khususnya Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), bagi memastikan segala perancangan yang dibuat oleh pihak universiti dapat diselaraskan dan kelulusan yang diperlukan dapat diberikan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berhubung Penyerahan Surat Pengiktirafan Status Universiti Penuh i-CATS, di sini pada Selasa.
Bagaimanapun, katanya, nama baharu universiti berkenaan akan diumumkan secara rasmi oleh Kerajaan Sarawak dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Dr Zambry menjelaskan KPT akan mempercepatkan proses permohonan berkaitan peluasan program akademik oleh institusi pendidikan tinggi negeri berdasarkan keperluan yang dikemukakan.
Sebelum ini, beliau mendedahkan bahawa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah mendapat kelulusan untuk menawarkan program undang-undang bagi memenuhi keperluan tenaga profesional dalam bidang perundangan di Sarawak dan Sabah.
“Cuma di peringkat universiti juga, dalam usaha mereka untuk mengembangkan lagi kursus-kursus mereka, prosesnya memang ada, tetapi saya beri keyakinan kepada pihak berkuasa negeri, ia tidak akan terlalu lama. Kita akan proses secepat mungkin kerana kita tahu ini adalah keperluan negeri,” ujarnya lagi. -EDISI UKAS