87 Sekolah Berisiko Di Sarawak Siap Dibaik Pulih, Lima Belum Mula Kerja
KUCHING: Sebanyak 87 sekolah yang dikenal pasti berisiko di Sarawak telah selesai dibaik pulih di bawah pakej peruntukan RM1 bilion, manakala lima lagi masih belum memulakan kerja pembinaan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, baki projek kini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan.
Beliau menjelaskan, pengelasan sekolah sebagai tidak selamat tidak semestinya bermaksud semua bangunan di kawasan sekolah berkenaan berada dalam keadaan tidak selamat untuk digunakan.
“Sebanyak 87 projek telah siap dilaksanakan, manakala selebihnya kini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan kerja pembinaan kecuali lima projek yang masih belum memulakan kerja pembinaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyertai kunjungan hormat Kementerian Pendidikan Tinggi ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di sini pada Selasa.
Mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri berhubung peruntukan RM1.5 bilion untuk Sabah dan Sarawak, Dato Sri Roland Sagah berkata, pihaknya masih menunggu perincian mengenai jumlah yang akan disalurkan khusus kepada Sarawak.
Beliau berharap Sarawak menerima peruntukan yang lebih besar atau sekurang-kurangnya pembahagian yang seimbang bagi memastikan usaha menaik taraf kemudahan sekolah dapat diteruskan.
“Kita berharap mendapat lebih banyak peruntukan untuk Sarawak atau sekurang-kurangnya diagihkan secara sama rata,” katanya.
Sebelum ini, sebanyak 680 sekolah di Sarawak dilaporkan dikategorikan berisiko, sekali gus menuntut perhatian berterusan terhadap aspek keselamatan dan keadaan infrastruktur pendidikan negeri ini. -EDISI UKAS