Sarawak Optimis Capai Sasaran Lima Juta Pengunjung Tahun Ini
KUCHING: Sarawak optimis mampu mencapai sasaran lima juta pengunjung tahun ini selepas merekodkan 3.52 juta ketibaan bagi tempoh Januari hingga September 2026, disokong jangkaan peningkatan jumlah pengunjung pada suku terakhir tahun ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, peningkatan ketibaan pelancong sepanjang Oktober hingga Disember dijangka memberi momentum positif kepada usaha mencapai sasaran tahunan berkenaan.
“Saya melihat Oktober, November dan Disember akan mencatatkan jumlah ketibaan yang sangat tinggi. Saya berharap kita mungkin dapat mencapai lima juta pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Selasa.
Bagaimanapun, beliau mengakui perkembangan konflik antarabangsa serta peningkatan harga tiket penerbangan dan bahan api antara faktor yang boleh mempengaruhi pergerakan pelancong.
Menurutnya, Sarawak merekodkan 4.97 juta pengunjung pada 2025, meningkat berbanding 4.83 juta pada 2024, sekali gus menunjukkan prestasi positif sektor pelancongan negeri.
Jelas beliau, kerajaan Sarawak memberi tumpuan untuk mencapai sasaran lima juta pengunjung terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan sasaran lebih tinggi pada tahun berikutnya.
Dalam perkembangan berkaitan, sektor pelancongan Sarawak turut mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila merekodkan penerimaan pelancongan berjumlah RM9 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2026, dengan purata RM1 bilion sebulan.
Beliau menjelaskan, pencapaian itu mencerminkan sumbangan positif sektor pelancongan kepada ekonomi Sarawak meskipun jumlah ketibaan pengunjung masih belum mencapai sasaran tahunan.-EDISI UKAS