11 Projek Naik Taraf Kemudahan Sukan SEA 2027 Berjalan Lancar
KUCHING: Kesemua 11 projek menaik taraf kemudahan sukan sempena penganjuran Sukan SEA 2027 yang bakal berlangsung pada 18 hingga 27 September tahun hadapan di Sarawak menunjukkan kemajuan yang baik.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, lapan daripadanya mendahului jadual dan dijangka siap pada suku pertama serta kedua 2027.
"Stadium Sarawak yang bakal menjadi lokasi majlis pembukaan Sukan SEA pula dijangka siap menjelang Januari 2027," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim memberitahu, sebanyak 40 projek pembangunan kemudahan sukan dan sosial dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) merangkumi 16 kemudahan sukan baharu, 19 projek naik taraf serta lima projek bukan fizikal.
Menurutnya, sebanyak 19 projek berada pada pelbagai peringkat perancangan, 18 projek sedang dalam pembinaan dan tiga projek telah siap sepenuhnya setakat September tahun ini.
Selain itu katanya, Kerajaan Sarawak turut merancang pembangunan kompleks sukan di seluruh negeri menerusi inisiatif “Satu Daerah, Satu Kompleks Sukan” dengan kerjasama agensi pembangunan wilayah.
Ujarnya, apabila siap kelak, kira-kira 89 peratus daerah di Sarawak dijangka mempunyai sekurang-kurangnya sebuah kompleks sukan.
Dalam perkembangan lain, Dato Sri Abdul Karim menjelaskan, projek Bau Sports Arena telah siap pada Ogos 2026 dan sedia dibuka kepada orang ramai, manakala Fasa 1 projek naik taraf Stadium Taha Ariffin turut siap dan bersedia menjadi venue bagi perlawanan AFC Champions League Two tahun ini. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini & Muhd Zulfadhli Ahmad Sharir