Projek Naik Taraf Dewan Suarah Disusun Semula Mengikut Keutamaan
KUCHING: Projek naik taraf Dewan Suarah di seluruh Sarawak telah disusun semula mengikut keutamaan bagi meningkatkan aspek keselamatan, fungsi serta kesediaan kemudahan itu untuk menganjurkan pelbagai acara di peringkat tempatan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerja-kerja penggantian bumbung blok menara utama Dewan Suarah Negeri, Kuching telah siap pada Mei 2026.
"Kerja-kerja naik taraf Dewan Suarah yang lain, termasuk Fasa 2 Dewan Suarah Negeri, Kuching akan dicadangkan dalam kajian separuh penggal akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Tambahnya, kerja-kerja penggantian bumbung Dewan Suarah Sibu telah dianugerahkan pada Oktober 2026 dan dijangka siap menjelang Ogos 2027.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim memberitahu, kementerian akan meneroka pelbagai model pengurusan, termasuk Kerjasama Awam-Swasta (PPP), bagi memastikan pengurusan kemudahan sukan dan komuniti di bawah seliaannya dilaksanakan secara berkesan dan mampan.
Ujarnya, pendekatan itu bertujuan memanfaatkan kepakaran, inovasi dan sumber sektor swasta, mengoptimumkan penggunaan kemudahan serta meningkatkan kecekapan operasi.
Katanya, ia juga dapat membantu meminimumkan beban kewangan jangka panjang kerajaan, di samping memastikan kemudahan berkenaan terus mampan. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini & Muhd Zulfadhli Ahmad Sharir