TYT Sarawak Terima Kunjungan Hormat Naib Canselor UNIMAS
KUCHING: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkenan menerima kunjungan hormat Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Dato’ Dr. Ahmad Hata Rasit di Astana Negeri Sarawak, Petra Jaya pada Selasa.
Kunjungan hormat tersebut antara lain bertujuan menyampaikan warkah persilaan rasmi kepada Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi untuk berangkat ke Istiadat Konvokesyen UNIMAS Ke-30 yang dijadualkan berlangsung dari 2 hingga 5 November 2026.
Dalam pertemuan itu, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Hata turut berkongsi perkembangan semasa UNIMAS, termasuk pencapaian, pengiktirafan serta penemuan baharu dalam bidang penyelidikan dan inovasi.
Beliau turut memaklumkan pelbagai inisiatif universiti berkenaan dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat menerusi pelaksanaan program perkongsian ilmu dan aktiviti berasaskan kepakaran dalam pelbagai bidang.
Sementara itu, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi menzahirkan penghargaan terhadap usaha berterusan UNIMAS dalam memperkasakan pendidikan tinggi, penyelidikan dan inovasi di Sarawak.
Beliau turut berharap agar UNIMAS terus memperkukuh kecemerlangan akademik, meningkatkan mutu penyelidikan serta melahirkan graduan berilmu, berkemahiran dan berdaya saing selaras dengan keperluan pembangunan negeri dan negara.
Dalam masa sama, beliau menyokong usaha UNIMAS memperluas kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi turut berharap agar hubungan baik antara UNIMAS dengan masyarakat terus diperkukuh menerusi pelaksanaan program berimpak tinggi yang menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat Sarawak.
Turut menyertai kunjungan hormat tersebut, Pendaftar UNIMAS, Azlan Ramli dan Pegawai Khas kepada Naib Canselor UNIMAS, Mohd Husaini Noorjaya Chew.-EDISI UKAS