Pelancongan Kesihatan Sarawak Jana RM109.9 Juta Dalam Enam Bulan Pertama 2026
KUCHING: Pelancongan kesihatan Sarawak menjana pendapatan sebanyak RM109.9 juta menerusi ketibaan seramai 48,480 pelancong kesihatan dalam tempoh enam bulan pertama 2026, mencerminkan potensi sektor itu sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan kepelbagaian industri pelancongan negeri.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sektor itu turut mencatat pertumbuhan ketara pada 2025 apabila menerima 104,323 pelancong kesihatan berbanding 76,796 pada 2024, iaitu peningkatan sebanyak 35.8 peratus.
“Pelancongan kesihatan memberi rangsangan besar kepada ekonomi tempatan, lebih-lebih lagi apabila pesakit lazimnya datang bersama ahli keluarga dan kembali untuk rawatan susulan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Selasa.
Jelasnya lagi, perkembangan itu membuka peluang kepada sektor berkaitan termasuk penginapan, pengangkutan, makanan dan perkhidmatan lain yang menyokong keperluan pelancong sepanjang berada di Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Sri Abdul Karim berkata, Sarawak turut meneroka pelancongan kapal persiaran sebagai satu lagi segmen untuk mempelbagaikan penawaran pelancongan negeri.
“Pelabuhan Kuching, Bintulu dan Miri dikenal pasti sebagai lokasi berpotensi bagi pembangunan pelancongan kapal persiaran, manakala Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) mencadangkan pembangunan terminal kapal persiaran di Semenanjung Damai,” ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, Kuching turut menerima kunjungan kapal persiaran antarabangsa bertaraf premium, termasuk Villa Vie Odyssey pada 22 Mei 2026 yang berkapasiti 282 penumpang serta Island Sky milik Noble Caledonia pada 10 Ogos lalu yang membawa 118 penumpang. -EDISI UKAS