Pameran Mumia Mesir Berusia Lebih 5,000 Tahun Bakal Dibawa Ke Sarawak
KUCHING: Sarawak bakal menjadi lokasi penganjuran pameran antarabangsa ‘Egyptian Mummies: Journey Towards Immortality’ yang menampilkan 110 objek daripada koleksi Muzium Arkeologi Negara Florence, Itali, termasuk tinggalan jasad manusia sebenar berusia lebih 5,000 tahun.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata Jabatan Muzium Sarawak bakal menjadi tuan rumah kepada pameran berprestij berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha memperluas akses kepada warisan sejarah antarabangsa.
“Jabatan ini bakal menjadi tuan rumah kepada pameran jelajah antarabangsa berprestij, iaitu ‘Egyptian Mummies: Journey Towards Immortality,” katanya semasa menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Selasa.
Menurutnya, pameran berkenaan merupakan pameran jelajah antarabangsa pertama berfokuskan Mesir Purba yang dianjurkan di Malaysia, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung menelusuri sejarah dan amalan tamadun purba menerusi koleksi arkeologi bernilai tinggi.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Sri Abdul Karim memberitahu Jabatan Muzium Sarawak memulakan kerja konservasi mural bersejarah ‘Tree of Life’ di Muzium Bangunan Lama Sarawak pada 13 Julai 2026 dengan kerjasama Balai Seni Negara, selain melaksanakan pemulihan berfasa terhadap ruang pameran dan spesimen bersejarah.
Sementara itu ujarnya, projek Laluan Kubu yang sedang dilaksanakan melibatkan Kubu Lili, Kubu Emma, Kubu Brooke dan Kubu Hose dijangka siap pada penghujung 2027 bagi memastikan warisan Sarawak terus dipelihara.
Malah katanya, Jabatan Muzium Sarawak turut memperkukuh kepakaran institusi melalui penempatan tahunan kurator Sarawak di British Museum di United Kingdom dan Musée du quai Branly di Paris, Perancis, selain memuktamadkan memorandum persefahaman dengan ICOMOS-Malaysia dan Museum of Ethnography Budapest. -EDISI UKAS