Program Pemimpin Bersama Rakyat Daerah Dalat pada 1 November ini
KUCHING: Program Pemimpin Bersama Rakyat Daerah Dalat pada 1 November ini bakal menjadi platform bagi memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat, selain berkongsi pandangan mengenai pembangunan kawasan tersebut.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dijemput menghadiri program berkenaan yang akan diadakan di Kompleks Kebajikan Dalat.
“Kita berharap dapat nasihat daripada beliau berkaitan dengan kemajuan di Dalat, bagaimana beliau melihat kemajuan Dalat dulu dan bagaimana sekarang ini serta bagaimana kita boleh menggerakkan lagi pembangunan di kawasan N.56 Dalat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi bergambar dengan rombongan KMKK dan Ahli Parti PBB N.56 Dalat di DUN Sarawak di sini, pada Selasa.
Menurut Dato Sri Fatimah, Dalat mempunyai hubungan tersendiri dengan Datuk Amar Awang Tengah kerana kawasan itu pernah menjadi lokasi penempatan awal beliau ketika memulakan perkhidmatan dahulu.-EDISI UKAS