KUCHING: Pesta Telaga Air 2026 yang berlangsung dari 6 hingga 8 November ini dijangka membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat menerusi promosi pelancongan komuniti dan penglibatan usahawan kecil di Kampung Telaga Air.
Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Tan Kai, berkata penganjuran pesta itu bukan sahaja bertujuan menarik pengunjung, malah memberi peluang kepada peniaga makanan, pengusaha inap desa dan penggiat pelancongan tempatan menjana pendapatan melalui peningkatan aktiviti ekonomi sepanjang acara berlangsung.
Menurut beliau, Kampung Telaga Air mempunyai potensi pelancongan tersendiri, khususnya menerusi hasil laut segar, hidangan makanan laut dan keindahan perairannya yang boleh diketengahkan sebagai tarikan kepada pengunjung dari Kuching dan kawasan sekitarnya.
Pesta anjuran MPP dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Telaga Air serta Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) itu akan menampilkan pelbagai aktiviti dan pertandingan, termasuk memancing, Telaga Air Strongest Man, Battle of the Bands dan sukan komuniti.-EDISI UKAS