Dakwah HIKMAH Perlu Berteraskan Ilmu, Pendidikan Dan STEM
KUCHING: Usaha dakwah HIKMAH perlu terus diperkukuh menerusi pendekatan pendidikan yang tersusun, berteraskan ilmu serta merangkumi penguasaan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi melahirkan generasi Islam yang berdaya saing.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, dakwah bukan sekadar menyebarkan ajaran agama, malah perlu dilaksanakan secara terancang dan berterusan melalui pendidikan yang mampu membangunkan kehidupan umat Islam.
Menurutnya, penguasaan ilmu Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi digital perlu difahami bukannya semata-mata ilmu barat, namun sebaliknya dibangunkan berasaskan ilmu matematik dan algebra yang turut mempunyai asas daripada sumbangan cendekiawan Islam termasuk dalam bidang astronomi.
“Justeru, sepatutnya umat Islam turut berada di barisan hadapan dalam bidang ini. Namun, umat Islam pada hari ini lebih banyak menjadi pengguna berbanding pencipta ilmu baharu.
“Oleh itu, kita perlu memberikan asas pendidikan STEM kepada anak-anak Islam supaya mereka dapat dibangunkan dan berupaya menerokai bidang ilmu yang penting pada masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kompleks HIKMAH di Jalan Pustaka, Petra Jaya, pada Selasa.
Sehubungan itu katanya, asas pendidikan STEM perlu diperkukuh dalam kalangan anak-anak Islam bagi membolehkan mereka mengembangkan potensi dan menerokai bidang ilmu yang semakin penting dalam dunia moden.
Jelasnya, pendekatan dakwah tidak seharusnya terbatas kepada aspek ibadah semata-mata, tetapi perlu merangkumi pembangunan kehidupan dunia dan akhirat melalui pendidikan, ilmu serta pemanfaatan peluang yang ada.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, dakwah perlu dilaksanakan secara tersusun dan berterusan menerusi pendidikan bagi memastikan penyebaran ilmu Islam memberi kesan kepada umat Islam termasuk golongan mualaf.
Beliau berkata, tuntutan menuntut ilmu jelas berasaskan wahyu pertama dalam al-Quran, Surah Al-‘Alaq, yang menekankan kepentingan membaca sebagai asas memperoleh ilmu.
Menurutnya, pendekatan pendidikan yang menggabungkan ilmu agama dan ilmu dunia penting dalam membimbing mualaf serta anak-anak mereka menjalani kehidupan dengan lebih baik seiring pembangunan semasa. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini