Kompleks HIKMAH Berpotensi Jadi Pusat Dakwah Islam Ke Peringkat Antarabangsa
KUCHING: Pembinaan Kompleks HIKMAH berpotensi menjadi platform memperluas usaha dakwah Islam ke peringkat antarabangsa, khususnya menerusi pendidikan dan pembangunan belia Islam daripada negara yang mempunyai komuniti Muslim minoriti.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, HIKMAH bukan sekadar sebuah pergerakan Islam, malah merupakan institusi yang mempunyai matlamat serta pendekatan tersendiri dalam melaksanakan dakwah secara berkesan.
Tambahnya, usaha dakwah itu turut diperluas menerusi peranan Sarawak dalam Regional Islamic Da'wah Council of Southeast Asia and the Pacific (RISEAP) yang membuka peluang untuk menjalin hubungan dengan masyarakat Islam di Australia, New Zealand serta kepulauan Pasifik.
“Di Fiji misalnya, umat Islam merupakan kelompok minoriti yang kecil dan kemudahan sekolah mereka juga tidak seperti sekolah kita.
“Justeru, melalui usaha dakwah ini, saya berhasrat membawa mungkin tiga atau empat orang belia daripada negara-negara yang mempunyai minoriti Muslim untuk belajar bersama belia Islam di Sarawak.
“Sekiranya mereka berjaya dalam pendidikan, mereka akan kembali ke negara asal untuk menyumbang kepada pembangunan negara serta masyarakat Islam di sana. Inilah pendekatan dakwah yang ingin kita bawa,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Kompleks HIKMAH di Jalan Pustaka, Petra Jaya, pada Selasa.
Menurutnya, pembinaan sekolah antarabangsa Islam turut membuka ruang untuk meneruskan usaha dakwah berkenaan, sekali gus menjadikan kompleks itu sebagai pusat yang mampu memancarkan sinaran Islam ke seluruh dunia.
Justeru, beliau berharap kompleks berkenaan, termasuk sekolah Ma'had Tahfiz Tun Abdul Rahman Ya'kub (MATTARY) dapat menjadi pemangkin kepada usaha memperluas pendidikan dan dakwah Islam di peringkat global.
Ujarnya, Kerajaan Sarawak akan terus membantu HIKMAH untuk membangunkan lagi pendidikan berasaskan Islam terutamanya perjalanan dakwah istitusi tersebut secara lebih berstruktur.
“Insya-Allah kita akan terus membantu HIKMAH untuk merealisasikan Sekolah Menengah HIKMAH dan juga insya-Allah Kolej Teknikal HIKMAH.
“Sama-samalah kita menjayakan institusi ini. Mudah-mudahan institusi ini akan terus berkembang,” ujar beliau lagi.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari menegaskan perpaduan umat Islam merupakan asas penting bagi memastikan usaha dakwah dapat diteruskan, selain mengekalkan keharmonian bersama masyarakat bukan Islam di Sarawak.
Katanya, pendekatan pentadbiran yang adil terhadap masyarakat Islam dan bukan Islam juga penting bagi membolehkan Sarawak menjadi contoh dalam mengamalkan keharmonian serta nilai Islam yang baik.
Hadir sama, anakanda kepada Premier Sarawak, Dayang Norjihan, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Yang Dipertua HIKMAH Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Husain serta kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini