Kelulusan Geran Sokongan Belia Sarawak Meningkat 63.6 Peratus
KUCHING: Kelulusan permohonan Geran Sokongan oleh Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak meningkat 63.6 peratus setakat suku ketiga 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sebanyak 90 permohonan bernilai RM1.9 juta diluluskan bagi pelaksanaan kira-kira 100 program yang dijangka memberi manfaat kepada 15,000 peserta.
“Selain bantuan kewangan, inisiatif ini menjadi platform penting untuk mencungkil potensi belia, menggalakkan penglibatan komuniti, memperkukuh pembangunan sukan akar umbi serta mempromosikan masyarakat yang lebih sihat dan aktif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Selasa.
Dato Sri Abdul Karim menambah, jumlah kelulusan itu turut mencatat peningkatan 68.8 peratus dari segi nilai berbanding tempoh sama pada 2025.
Selain itu, beliau turut memaklumkan, peruntukan sebanyak RM1.6 juta telah disediakan di bawah Geran SYStartup bagi tahun ini untuk menyokong usahawan muda dalam menubuhkan, membangunkan dan mengembangkan perniagaan mereka.
Ujarnya lagi, sejumlah RM25 juta turut diluluskan di bawah inisiatif pinjaman mudah bagi memudahkan pengembangan perniagaan, meningkatkan kapasiti operasi, serta mengukuhkan daya saing pasaran dalam kalangan perusahaan yang diterajui oleh golongan muda.-EDISI UKAS