Kerajaan Sarawak Fokus Kepada Penyediaan Rumah Mampu Milik
KUCHING: Kerajaan Sarawak memberi fokus kepada penyediaan rumah mampu milik menerusi pelaksanaan Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) bagi memastikan rakyat berpendapatan rendah boleh memiliki rumah sendiri.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, inisiatif berkenaan sebagai usaha menyediakan tanah kediaman kepada rakyat berpendapatan rendah.
Menurutnya, sehingga 30 September 2026, sebanyak 306 skim telah diwujudkan, menyediakan sebanyak 51,973 lot kediaman di seluruh negeri.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pula, sebanyak 32 projek telah diluluskan melibatkan 2,896 lot dengan kos RM278.1 juta, di mana beberapa projek telah siap dan selebihnya sedang dalam pelaksanaan sehingga penghujung RMK13.
“Walaupun kerajaan membelanjakan antara RM120,000 hingga RM150,000 bagi setiap lot untuk menyediakan infrastruktur lengkap yang berkualiti, rakyat hanya perlu membayar premium tanah tidak melebihi RM2,500 se-lot, dan boleh dibayar secara ansuran sehingga 10 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Datuk Amar Awang Tengah turut memaklumkan bahawa kerajaan menerusi Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) membelanjakan antara RM350,000 ke RM435,000 untuk menyediakan setiap unit rumah di SPS dan SPK ini tetapi mengenakan harga jualan RM150,000 seunit sahaja.
“Dengan premium tanah yang hanya RM2,500 se-lot dan rumah RM150,000 dilengkapi dengan sistem tenaga solar, di manakah di Malaysia ini yang mempunyai polisi seperti ini?
“Saya rasa tidak ada, cuma di Sarawak sahaja. Inilah nikmat yang dinikmati oleh rakyat daripada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipimpin oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
“Inisiatif ini bukan sekadar membina rumah, tetapi memperluas peluang pemilikan kediaman, meningkatkan nilai harta dimiliki oleh setiap pemilik lot sekaligus meningkatkan taraf hidup mereka,” ujarnya. -EDISI UKAS