Kuching Furniture Park Tarik Minat 15 Syarikat, Pembangunan Bernilai RM233 Juta
KUCHING: Pembangunan Kuching Furniture Park di Demak Laut bernilai RM233 juta di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) menarik minat 15 syarikat untuk melabur dalam industri pembuatan perabot di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek seluas 50 hektar yang dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) itu bertujuan menarik pelaburan serta merancakkan pengeluaran produk perabot bernilai tambah di negeri ini.
“Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM233 juta di bawah RMK13 untuk membangunkan Kuching Furniture Park seluas 50 hektar di Demak Laut, dan sehingga kini 15 syarikat telah mendaftarkan minat untuk melabur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Menurut beliau, kerja-kerja ukur tanah dan pengukuran topografi sedang dijalankan dan dijangka siap pada 30 Januari 2027 bagi membolehkan pelan pembangunan terperinci kawasan berkenaan disediakan.
Dalam usaha memperkukuh industri perabot, PUSAKA katanya turut memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan menerusi penganjuran 14 kursus latihan yang melibatkan 729 peserta setakat September 2026.
Selain itu katanya, program pembangunan bakat SayD’signerSarawak turut berjaya melahirkan 32 pereka perabot berasaskan kayu dengan menghasilkan 166 reka bentuk.
Daripada jumlah itu, 10 reka bentuk telah terpilih untuk dikomersialkan menerusi kerjasama dengan pemain industri di HOMELOVE & Living Expo yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK). -EDISI UKAS