Persidangan Anjuran UNIMAS Perkukuh Pemahaman Undang-Undang Adat, Hak Masyarakat Pribumi
KOTA SAMARAHAN: Persidangan Antarabangsa The Expanding Horizons of Legal Pluralism anjuran Institut Pengajian Borneo (IBS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), bakal menjadi platform untuk memperkukuh pemahaman mengenai undang-undang adat, hak masyarakat pribumi dan pluralisme undang-undang dalam sistem perundangan Malaysia.
Dekan Fakulti Undang-Undang UNIMAS, Profesor Dato' Dr. Johan Shamsuddin Sabaruddin berkata, persidangan yang berlangsung pada 22 hingga 23 Oktober ini di Dayak Cultural Foundation (DCF), Kuching akan meneliti hubungan antara perlembagaan, undang-undang bertulis, undang-undang adat, undang-undang agama dan sistem pengetahuan masyarakat tempatan.
Menurut beliau, perbincangan tersebut relevan bagi Sarawak dan Sabah yang mempunyai kepelbagaian masyarakat serta amalan adat yang memainkan peranan penting dalam kehidupan komuniti.
“Melalui persidangan ini, kita mahu mengenal pasti isu berkaitan pluralisme undang-undang dan memberi penekanan kepada pelaksanaannya, termasuk asas jurisprudens undang-undang adat serta isu bidang kuasa, struktur dan prosedur Mahkamah Anak Negeri.
"Pemahaman terhadap undang-undang adat perlu diperkukuh bagi membolehkan pengamal undang-undang dan pemimpin masa depan menangani isu berkaitan masyarakat pribumi dengan lebih berkesan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di UNIMAS, baru-baru ini.
Tambah Profesor Dato' Dr. Johan, persidangan berkenaan turut membincangkan pengurusan tanah tradisional, sumber semula jadi dan alam sekitar, selain pengiktirafan hak masyarakat tempatan serta kepentingan pengetahuan pribumi dalam tadbir urus masa kini.
Beliau menegaskan bahawa pemahaman terhadap sistem perundangan perlu merangkumi bukan sahaja undang-undang bertulis, malah kedudukan dan legitimasi undang-undang adat dalam masyarakat melalui pendekatan antara disiplin yang menggabungkan bidang undang-undang, antropologi dan sejarah. -EDISI UKAS