KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM18 juta di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi melaksanakan kajian potensi sumber Unsur Nadir Bumi (REE) di negeri ini, melibatkan kawasan seluas kira-kira 3,134 kilometer persegi.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kajian itu merupakan langkah awal untuk mengenal pasti potensi sumber mineral berkenaan sebagai asas kepada pembangunan industri REE di Sarawak.
“Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan berjumlah RM18 juta dalam RMK13 bagi membolehkan kajian potensi keberadaan sumber REE dilaksanakan di kawasan seluas lebih kurang 3,134 kilometer persegi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Menurut beliau, kerajaan negeri telah menyediakan kerangka hala tuju pembangunan industri REE secara bersepadu, meliputi keseluruhan rantaian industri daripada peringkat huluan hingga hiliran, dengan matlamat membangunkan industri super magnet.
Pembangunan industri itu katanya berpotensi menyokong sektor berteknologi tinggi, termasuk semikonduktor, aeroangkasa dan satelit, selain aplikasi dalam pembuatan kenderaan elektrik (EV), teknologi pertahanan dan bidang perubatan.
Ke arah itu, Kerajaan Sarawak telah meminta Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan lebih besar kepada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Cawangan Sarawak bagi memperluas kajian sumber mineral berkenaan ke seluruh negeri.
Jelas beliau, langkah itu bertujuan mendapatkan gambaran lebih menyeluruh mengenai potensi sumber REE Sarawak sebagai asas kepada perancangan pembangunan industri dan usaha memaksimumkan manfaat ekonominya kepada negeri.-EDISI UKAS