SKF Harumkan Nama Sarawak, Malaysia Di Pentas Antarabangsa
KUCHING: Persekutuan Kunto Sarawak (SKF) mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia menerusi penyertaan dalam International Martial Arts Contest (IMAC) 2026 di Chungju, Korea Selatan, dengan meraih tempat keempat dalam kategori Weapons Duo serta menerima Anugerah Kehormat bernilai KRW400,000.
Pengerusi SKF, Dato’ Abang Ariffin berkata, penyertaan 22 anggota delegasi Malaysia itu bukan sekadar untuk meraih kemenangan, sebaliknya menjadi platform memperkenalkan keunikan seni bela diri tradisional Sarawak kepada masyarakat antarabangsa, khususnya warisan masyarakat Melayu, Iban dan Bidayuh.
Menurut beliau, seni bela diri tradisional merupakan manifestasi sejarah, kebijaksanaan, disiplin dan identiti budaya yang perlu dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang.
Pasukan seni bela diri Bidayuh SKF berjaya menduduki tempat keempat dalam kategori Weapons Duo, bersaing dengan wakil dari 10 negara dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak KRW250,000.
Selain itu, SKF turut menerima Anugerah Kehormat bernilai KRW400,000, menjadikan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai yang diterima sebanyak KRW650,000.
Penyertaan SKF dalam pertandingan anjuran World Martial Arts Union (WoMAU) itu turut menampilkan tiga tradisi seni bela diri warisan Sarawak, iaitu Kunto Melayu menerusi Silat Seni Asli Zamrud dan Mayang Mengurai, Kuntau Iban melalui Spring Kipas dan Spring 24 Propeller Bilun Kiruh, serta Kutow Bidayuh menerusi Kutow Rusat Rimoung.
Dato’ Abang Ariffin berkata, penyertaan itu turut mencerminkan kepelbagaian budaya Sarawak yang menyatukan masyarakat berbilang kaum menerusi komitmen bersama dalam memelihara warisan nenek moyang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Amar Fadillah Yusof, serta barisan pemimpin dan institusi yang menyokong usaha SKF mempromosikan seni bela diri tradisional ke peringkat antarabangsa.
IMAC 2026 menghimpunkan peserta dari 13 negara yang bertanding dalam tujuh kategori utama, merangkumi persembahan individu tangan kosong, penggunaan senjata, persembahan berpasangan dan persembahan berkumpulan.
Mengulas hala tuju seterusnya, Dato’ Abang Ariffin berkata SKF berhasrat memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang pemeliharaan warisan, pendidikan, pembangunan belia, pertukaran budaya dan pelancongan warisan.
Usaha itu turut merangkumi pendokumentasian serta promosi seni bela diri tradisional Melayu, Iban, Bidayuh dan masyarakat peribumi lain di Sarawak bagi memastikan warisan berkenaan terus dipelihara serta mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Beliau berharap inisiatif berkenaan dapat membantu meletakkan Sarawak sebagai hab serantau dan antarabangsa bagi seni bela diri tradisional serta warisan budaya, selaras dengan aspirasi pembangunan budaya dan pelancongan negeri.
Dato’ Abang Ariffin turut merakamkan tahniah kepada kesemua 22 anggota delegasi Malaysia atas komitmen, disiplin dan semangat berpasukan sepanjang pertandingan, selain mengucapkan penghargaan kepada WoMAU, jawatankuasa penganjur IMAC 2026 dan masyarakat Chungju atas layanan serta sokongan mereka.-EDISI UKAS