KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) bersedia mengambil alih fungsi pengurusan sisa terjadual di bawah fasa pertama pemindahan autonomi alam sekitar, selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelbagai persediaan telah dilaksanakan bagi memperkukuh keupayaan negeri untuk melaksanakan fungsi berkenaan, termasuk penggubalan Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 (NREO 2024).
Katanya, ordinan yang memasukkan peruntukan berkaitan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (EQA 1974) itu telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 12 November 2024.
“Kerajaan Sarawak melalui NREB bersedia sepenuhnya untuk memikul fungsi pengurusan sisa terjadual di bawah fasa pertama pemindahan autonomi alam sekitar seperti yang termaktub di bawah MA63,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Katanya, kesiapsiagaan itu turut diperkukuh menerusi pembangunan kepakaran sumber manusia dengan 35 pegawai telah mendapat pengiktirafan di bawah Protokol Persampelan Sisa Terjadual (CePSWASP), manakala 27 pegawai memperoleh persijilan Profesional Alam Sekitar Bertauliah dalam Pengurusan Sisa Terjadual (CePSWaM).
Selain itu, seramai 25 pegawai sedang mengikuti persijilan CePSWaM bagi meningkatkan kapasiti tenaga kerja dalam pengurusan sisa terjadual.
Dalam aspek penguatkuasaan, NREB katanya turut memperkukuh kerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak menerusi 169 pemeriksaan bersama dan 26 lawatan teknikal yang dijalankan dari 2024 hingga September 2026.
Bagi menyokong pelaksanaan tanggungjawab baharu itu, seramai 10 petugas turut diambil untuk memperkukuh keupayaan operasi dan penguatkuasaan.
Katanya, Kerajaan Sarawak komited memastikan pemindahan fungsi berkenaan dilaksanakan secara teratur bagi memperkukuh pengurusan alam sekitar serta memelihara kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat.-EDISI UKAS