Sarawak Saran Agihan Dana EFT Berdasarkan Keperluan Pemuliharaan Alam Sekitar
KUCHING: Sarawak mengesyorkan supaya pengagihan dana Ecological Fiscal Transfer (EFT) dilaksanakan secara telus dan saksama dengan mengambil kira keluasan litupan hutan, kos pengurusan serta usaha dan keberhasilan pemuliharaan alam sekitar.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan pengagihan dana berkenaan mengambil kira keperluan sebenar setiap negeri dalam melaksanakan usaha pemuliharaan alam sekitar.
“Oleh itu, kita mengesyorkan agar pengagihan dana insentif EFT ini dibuat secara telus dan saksama berdasarkan faktor keluasan litupan hutan, kos pengurusan, usaha konservasi dan keberhasilan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Rabu.
Datuk Amar Awang Tengah menambah, Kerajaan Sarawak menyambut baik pengumuman Kerajaan Persekutuan mengenai peruntukan RM270 juta bagi dana EFT menerusi Belanjawan 2027.
Bagaimanapun, katanya, kementeriannya akan terus berusaha mendapatkan peruntukan EFT yang lebih besar bagi memenuhi keperluan dan keutamaan pemuliharaan kawasan perlindungan di Sarawak.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Hazrin Sunaini