Teknologi Seedball Percepat Usaha Pemulihan Hutan Sarawak, Hasilkan 3,000 Bebola Benih Sehari
KUCHING: Usaha pemulihan hutan di Sarawak terus diperkukuh menerusi pembangunan mesin seedball yang mampu menghasilkan sehingga 3,000 bebola benih sehari, khususnya bagi menyokong aktiviti penanaman semula di kawasan yang sukar diakses.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, teknologi hasil kerjasama Jabatan Hutan Sarawak dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) itu menawarkan kaedah alternatif yang lebih praktikal dan efisien dalam pelaksanaan program restorasi hutan.
“Teknologi ini menyediakan kaedah alternatif untuk menyokong program restorasi hutan, khususnya di kawasan yang sukar diakses, sekali gus memperluas pilihan kaedah pemulihan hutan yang lebih praktikal dan efisien,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Rabu.
Menurut beliau lagi, usaha konservasi turut diperkukuh menerusi kerjasama strategik dengan pelbagai pihak, termasuk operasi pemantauan dan penyelamatan hidupan liar di kawasan projek hidroelektrik Baleh bersama Sarawak Energy Berhad (SEB).
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Sarawak Reef Ball Project Fasa 1 turut menerima pengiktirafan World’s Longest Reef Ball Barrier Reef daripada The Reef Ball Foundation yang berpangkalan di Florida, Amerika Syarikat.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Hazrin Sunaini